Majlis Perbarisan memperingati penubuhan Jabatan Penjara





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Dk. Nurhafilah Pg. Osman

 




MARABURONG, Sabtu, 23 Mei. - Majlis Perbarisan sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara Ke-72 Tahun 2026 berlangsung pagi tadi bertempat di Padang Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara.


Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.


Majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan anggota Jabatan Penjara oleh tetamu kehormat, dan seterusnya diikuti dengan ucapan dari Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara Ke-72 Tahun 2026.


Di majlis berkenaan, tetamu kehormat seterusnya berkesudian menyampaikan Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Penjara bagi Tahun 2026 dan Penyampaian Lencana Brunei Prison Self Defence (BPSD).


Bagi memberkati majlis Doa Selamat telah dibacakan oleh Guru Ugama Penjara Maraburong Fasa III, Awang Mohammad Yusri bin Othman.


Tetamu kehormat dan para jemputan yang hadir seterusnya beredar bagi meninjau Tapak Perasmian Padi di Institusi Penjara Maraburong Fasa III.


Yang Berhormat juga turut berkesudian melawat Kawasan Projek Tanaman Buah-buahan dan menanam pohon durian 'Black Thorn' di tempat yang dikhaskan.


Turut hadir di majlis tersebut ialah, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, ketua-ketua jabatan, serta ketua-ketua cawangan daripada agensi-agensi kerajaan Daerah Tutong, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan para jemputan khas lain.


Dalam temu bual bersama salah seorang penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Penjara, Wadar 748 Awang Mohammad Asri bin Ahmad dari Unit Gerakan Khas, Jabatan Penjara Negara Brunei Darussalam melahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih baik, serta berusaha untuk meningkatkan kualiti dan prestasi kerja dengan lebih mampan.


Beliau yang mula berkhidmat di Jabatan Penjara sejak tahun 2011 menyuarakan antara cabaran terbesar yang pernah beliau hadapi ialah ketika perlu mengimbangi ketegasan dan ihsan semasa mengurus penghuni, selain turut berkongsi kunci utama untuk menjadi seorang anggota yang cemerlang perlu ada motivasi tinggi, berpotensi, cekal, berintegriti, berdisiplin dan amanah.


“Untuk terus berdisiplin dan komited, perlulah mengikuti tatacara dan SOP kerja yang betul, mematuhi arahan-arahan dari pihak atasan, tepat masa dan menganggap tugas ini sebagai amanah kepada negara," ujarnya.


Walaupun adakalanya terpaksa berkorban masa untuk bersama keluarga kerana tugas dan kecemasan, namun beliau terus menerima pelbagai sokongan dari keluarga untuk tetap cekal dan tabah dalam menjalankan tugas harian dengan tenang.


Beliau juga melihat bahawa menjaga keselamatan melalui kawalan selamat dan program pemulihan untuk mengurangkan jenayah berulang adalah antara peranan Jabatan Penjara dalam memastikan keselamatan masyarakat masa kini.


Dalam pada itu, Wadar 748 Awang Mohammad Asri turut melahirkan nasihat kepada para anggota muda yang baru berkhidmat di Jabatan Penjara untuk sentiasa kekal berdisiplin, sabar, meraih pengalaman serta belajar dari para senior dan berusaha meningkatkan prestasi kerja dari semasa ke semasa.


Sementara Penyelia Pejabat selaku Ketua Unit Pentadbiran Jabatan Penjara, Awang Mohamad Hamri bin Awang Haji Hussin juga turut melahirkan rasa syukur di atas penganugerahan tersebut, dan menyarankan untuk terus berdedikasi serta komited dengan tugas masing-masing di samping turut menjaga integriti jabatan.


Close